PETALING JAYA: Pelakon, Azar Azmi menyifatkan detik dirinya digari dan ditahan pihak berkuasa atas dakwaan penipuan penjualan tanah sebagai episod paling hitam dalam kehidupannya.
Menurut Azar atau Siti Azar Ameerah Azmi, 37, di sebalik spekulasi yang mendakwa dia hidup mewah hasil wang yang dikaitkan dengan kes tersebut, hakikatnya dia melalui kehidupan yang serba terbatas.
“Sebab itu saya pernah cakap hidup saya tak semewah apa yang ditulis, tapi orang tak percaya. Saya pernah berniaga durian, cempedak goreng sendiri. Kalau betul apa yang ditularkan, aku puas hati bila pihak berkuasa ambil aku sebab aku dah guna duit yang dikata itu
“Masalahnya kehidupan aku dan apa di tajuk (duit yang diambil) itu tak sepadan, nak makan pun serba salah,” katanya dalam satu temu bual.
Mengulas lanjut, Azar berkata meskipun telah melalui proses tahanan, reman dan siasatan, masih ada pihak yang mempertikaikan pembebasannya.
“Saya tidak tahu pihak berkuasa ada datang mahu ambil kami, enam bulan sebelum diambil, saya terputus hubungan dengan cerita di luar sebab tiada telefon. Saya telah direman, disoal siasat dan melalui semua prosedur.
“Saya disini pun masih ada individu tidak berpuas hati bagaimana saya boleh keluar, mulut orang kita tak boleh nak tutup.
“Rasa nak beritahu saya tak buat benda itu tapi siapa nak percaya dengan gambar terpampang begitu tangan dah ada gelang, ini benda paling teruk pernah terjadi dalam kehidupan tak.
“ Saya tiada sesiapa, tiada tempat bercakap mengadu. Cuma ada jeriji tiang, dinding dan aku doa agar dibuktikan siapa betul dan salah,” tambahnya.
Dalam pada itu, Azar turut berkongsi keadaan rumah tangganya yang diuji, mengakui perasaan cemburu melihat kebahagiaan pasangan lain namun tetap cekal demi anak-anak.
“Kalau nak dibandingkan dengan pasangan lain, saya cemburu. Saya lebih kepada menjaga anak-anak, sebab itu juga saya bertahan. Saya mengimpikan keuarga yang tidak gagal, bertahan sampai mati. Tapi tak sangka benda jadi begini.
Bila berkeluarga memang kita hanya ada pasangan kita untuk berpaut tapi benda dah jadi saya tak boleh fikir tentang orang lain, saya nak kena besarkan budak-budak,” katanya.
Tambahnya, dia tidak meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya, sebaliknya mengambil pendekatan menghormati permintaan keluarga mentua.
Dalam masa sama, Azar meluahkan rasa syukur kerana masih mempunyai sokongan kuat daripada adik-beradik yang sentiasa menjadi sumber kekuatan untuknya meneruskan kehidupan.
Terdahulu, Azar dibebaskan tanpa syarat dan dijadikan saksi pendakwaan selepas suaminya didakwa di mahkamah atas tuduhan kes tipu tanah kurniaan dan urusan darjah kebesaran ‘Datuk’ yang tidak wujud. -UTUSAN










