Hayati keberkatan Madinah, jangan sekadar destinasi ziarah

Hayati keberkatan Madinah, jangan sekadar destinasi ziarah

JEMAAH haji Malaysia diberi penerangan tentang sejarah Bukit Uhud semasa melakukan ziarah di luar Madinah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


MADINAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan menghargai peluang berada di tanah suci dengan memperbanyakkan ibadah serta memanfaatkan sepenuhnya masa di Madinah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Madinah bukan sekadar destinasi persinggahan sebelum ke Mekah, sebaliknya sebuah kota bersejarah yang menyimpan perjuangan Rasulullah bersama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

“Ini peluang besar untuk jemaah menghayati sejarah perjuangan Islam, memperbanyak doa, munajat dan memohon kesejahteraan untuk diri, keluarga serta negara.

“Kita berharap semua jemaah menggunakan masa sebaik-baiknya untuk beribadah sebanyak mungkin di kota penuh keberkatan ini sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan umrah dan seterusnya ibadah haji,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni 284 jemaah kumpulan ke-5 (KT5) yang tiba di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick.

Mohd. Hisham, berkata pelbagai aktiviti telah disusun Tabung Haji (TH) agar jemaah berpeluang untuk menziarahi tempat bersejarah termasuk makam Rasulullah SAW, tanah perkuburan Baqi’ dan Bukit Uhud, selain diberi peluang bermunajat di Raudhah.

Dalam pada itu, Pengurus Bimbingan dan Ziarah Madinah TH, Mohamad Zahir Hussin berkata, Madinah bukan sekadar lokasi persinggahan sebelum ke Mekah, sebaliknya merupakan bumi yang menyimpan pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan agama Islam.

Katanya, di kota inilah tertegaknya negara Islam pertama yang diasaskan oleh Nab Muhammad selepas peristiwa hijrah dari Mekah.

“Selain itu, di sinilah terbinanya masjid pertama dan berkembangnya syiar Islam sehingga menjadi panduan kepada umat hingga hari ini.

“Justeru, jemaah perlu melihat keberadaan mereka di sini bukan sebagai lawatan biasa, tetapi peluang mendekatkan diri kepada Allah serta meneladani perjuangan Rasulullah,” katanya.

Beliau berkata, jemaah juga digalakkan menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah dengan penuh keinsafan dan mengambil pengajaran daripada sirah perjuangan generasi awal Islam.

Menurut beliau, pengalaman berada di bumi anbia itu seharusnya membawa perubahan jiwa dan akhlak apabila jemaah pulang ke tanah air kelak.

“Jangan pulang sekadar membawa gambar dan kenangan, tetapi bawalah bersama semangat ibadah, kesabaran, disiplin serta kecintaan kepada agama hasil penghayatan di bumi Madinah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×