Harga emas jatuh: ‘Demam’ beli emas landa Kelantan

Harga emas jatuh: ‘Demam’ beli emas landa Kelantan

SEORANG pelanggan mencuba rantai tangan yang dijual di sebuah kedai emas di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kejatuhan harga emas di bawah paras RM600 satu gram sejak minggu lalu menyaksikan ‘demam’ membeli emas kembali melanda negeri ini apabila golongan wanita ‘membanjiri’ premis menjual logam tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah di sini mendapati, premis-premis emas dikunjungi golongan berkenaan yang mengambil peluang harga rendah untuk menambah aset.

Seorang pekerja kedai emas, Safrina Baharudin, 33, berkata, trend jualan emas di premis tempatnya bekerja mencecah sehingga 80 peratus.

Katanya, kebanyakan pelanggan memilih rekaan popular seperti Dubai, Itali dan diamond cut untuk dijadikan sebagai simpanan.

“Selain beli baharu, ada juga yang membuat menukar barang kemas lama kepada baharu kerana harga lebih rendah berbanding sebelum sambutan Hari Raya Aidlfitri lalu.

“Situasi ini bukan perkara asing, malah sudah menjadi budaya rakyat Kelantan yang memilih emas sebagai aset setiap harga jatuh,” katanya.

Bagi Aiman Shah Abdul Khalid, 27, harga semasa sekitar RM579 satu gram berbanding RM657 sebelum Hari Raya Aidilfitri menjadi faktor utama peningkatan mendadak itu.

Katanya, perbezaan harga itu mendorong pelanggan membeli emas tanpa berfikir panjang.

“Alhamdulillah, sejak harga jatuh, jualan di kedai saya meningkat kira-kira 60 peratus. Kejatuhan logam ini turut menarik golongan muda membeli cincin dan rantai tangan sebagai pelaburan pada harga bawah RM2,000,” katanya,

Sementara itu, seorang pe­langgan, Norihan Zahari, 36, berkata, dia membeli sebentuk cincin bernilai RM1,200 minggu lalu sebagai simpanan.

“Bila harga turun dan ada lebihan wang, saya terus ambil peluang sebab emas tetap pelaburan yang selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN