PETUGAS: Seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bergelar Datuk ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.
Perintah reman selama lima hari sehingga 19 April 2026 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Menurut sumber, suspek berusia 60-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025 dan ketika itu dia menjawat jawatan sebagai Pengarah IPTA terbabit.
“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan terbabit dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Tambah sumber, susulan daripada siasatan tersebut, SPRM telah membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, siasatan menjurus kepada siasatan jenayah dan tatakelola. – UTUSAN










