KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) menggunakan kekuatan anggota penguat kuasa sedia ada dengan memberi tumpuan kepada lokasi panas penyeludupan dalam usaha membendung ketirisan di kawasan sempadan Malaysia.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain terus diperhebat bagi memastikan barang kawalan subsidi negara tidak lolos ke negara jiran.
“Buat masa ini tiada penambahan pegawai baharu kerana implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
“Jadi kita mengoptimumkan sumber sedia ada merentasi pelbagai agensi melibatkan penyelewengan atau penyorokan bekalan,” katanya semasa menghadiri Taklimat Penguatkuasaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 Kepada Pemborong Barang Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Kelantan di sini, hari ini.
Armizan berkata, KPDN turut menjalankan pemantauan harian secara digital melalui dashboard pangkalan data.
Katanya, ia melibatkan kilang penapis hingga ke peringkat peruncitan dan depoh simpanan dalam membendung ketirisan. – UTUSAN










