BANGI: Kerajaan perlu campur tangan susulan insiden gangguan keselamatan yang menjejaskan perjalanan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sokongan kerajaan amat diperlukan ketika ini khususnya daripada sudut keselamatan serta perhubungan diplomatik melibatkan Greece dan Turkiye bagi menangani situasi semasa.
Katanya, kapal-kapal terlibat telah diarahkan untuk memasuki perairan Greece susulan maklumat awal mengenai kehadiran kapal pengawal pantai negara itu di lokasi berkenaan.
“Saya telah berbalas mesej dengan Perdana Menteri bagi memaklumkan perkembangan terkini dan akan mengadakan pertemuan secara langsung dalam masa terdekat. Beberapa menteri penaung juga telah dimaklumkan sejak pagi tadi.
“Buat masa ini, perkembangan masih berjalan. Ketika kita sedang bersiaran, kapal-kapal telah diminta oleh pihak steering committee dan juga SNCC untuk segera masuk ke kawasan perairan Greece. Berdasarkan maklumat tidak rasmi, kita juga dimaklumkan bahawa sudah terdapat kapal coast guard (pengawal pantai) dari Greece di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, perkara ini akan disahkan dalam masa terdekat. Dari semasa ke semasa, kita sentiasa mengambil ruang untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada pihak keluarga,” katanya pada sidang akhbar tergempar perkembangan terkini misi GSF 2.0 di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) hari ini.
Terdahulu, sebanyak 22 kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang membawa 186 sukarelawan dari seluruh dunia ke Gaza telah ditahan dan diculik secara tidak sah oleh tentera Israel awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Sani Araby berkata, gangguan komunikasi yang berlaku dipercayai berpunca daripada tindakan pihak tertentu yang menggunakan teknologi gangguan isyarat ketika kapal-kapal berada berhampiran lokasi insiden.
Katanya, tindakan tersebut dilihat sebagai satu bentuk provokasi awal oleh pihak rejim yang didakwa bertindak dalam keadaan terdesak berikutan sokongan antarabangsa terhadap misi berkenaan.
“Empat jam sebelum ini, kita menerima maklumat dan menjangkakan mereka terputus hubungan kerana kapal mereka berada terlalu dekat dengan kapal yang telah dihalang. Kita juga menjangkakan mereka menggunakan dron yang membawa jammer, menyebabkan komunikasi tidak dapat dilakukan.
“Untuk kali kedua ini, kita melihat pihak rejim bertindak dalam keadaan terdesak dan melakukan tindakan yang boleh dianggap pengecut.
“Kita berada di perairan antarabangsa, berbeza dengan tahun lalu pada 1 Oktober 2025 ketika kita ditahan dan diculik di kawasan Red one 1 iaitu kira-kira 50 batu nautika dari Gaza,” katanya. – UTUSAN










