KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah GD Properties melancarkan projek pembangunan bercampur KL360 @ Menara GD dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.37 bilion, sekali gus bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu di pusat bandar.
Projek setinggi 61 tingkat yang terletak di Jalan Tun Razak itu bakal menampilkan tarikan unik “di awan”, termasuk gelongsor kaca terpanjang di Malaysia sepanjang 20 meter yang dijangka bakal memecah rekod kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GD Properties, Ng Khoon Haur berkata, projek itu akan memasuki fasa pembinaan bermula separuh kedua tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 48 bulan atau sekitar 2030.
“Kami sangat optimis dengan permintaan pasaran dan menyasarkan untuk mencapai kadar jualan sehingga 70 peratus menjelang akhir tahun ini. Tempahan rasmi akan mula dibuka kepada orang ramai bermula esok (1 Mei).
“Bagi fasa pertama, kami akan melepaskan kira-kira 400 unit kediaman dengan anggaran harga sekitar RM1,600 bagi setiap kaki persegi,” katanya pada majlis pelancaran dan sidang akhbar di sini hari ini.
Projek tersebut merangkumi 785 pangsapuri kediaman perkhidmatan, 221 suite pejabat dan 20 unit peruncitan yang turut dilengkapi kemudahan unik seperti dek awan 360 darjah berkeluasan 25,000 kaki persegi dan zon permainan air di paras tinggi.
Pada majlis sama, GD Properties turut memeterai kerjasama strategik bersama Bank Rakyat bagi kemudahan pembiayaan projek, selain melantik China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. (CSCE) sebagai rakan pembangunan utama.
Mengulas mengenai pasaran hartanah, Khoon Haur berkata, Malaysia kini dilihat sebagai destinasi pelaburan yang selamat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, yang mendorong peningkatan minat daripada pelabur luar negara terutamanya dari negara itu.
“Laporan daripada institusi kewangan global seperti JP Morgan turut menyenaraikan Malaysia sebagai antara pasaran paling selamat di Asia pada masa ini.
“Kami melihat trend positif di mana pelabur asing mula kembali ke Asia, dan Malaysia merupakan pilihan utama mereka,” katanya.
Bagi memudahkan ketersambungan, pemaju turut merancang penyediaan dua buah bas pengantara di kawasan KL360 dan komited untuk membina laluan pejalan kaki berbumbung ke Stesen MRT Raja Uda.
Syarikat juga menyasarkan pengembangan perniagaan yang lebih agresif di Kuala Lumpur, termasuk meneroka peluang dalam segmen kediaman pelajar dan komuniti keluarga muda selepas kejayaan menguruskan projek hartanah sebelum ini. –UTUSAN









