PETALING JAYA: Satu garis panduan khusus berhubung pelaksanaan kutipan derma awam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang dirangka Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), susulan isu penyelewengan dana yang hangat diperkatakan ketika ini.
Langkah itu merupakan sebahagian penambahbaikan kerangka kawal selia NGO berdaftar termasuk tatacara kutipan derma daripada orang ramai menerusi pindaan Akta Pertubuhan 1966.
Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad berkata, ia bakal menjadi rujukan kepada pertubuhan bagi memastikan aspek ketelusan, tadbir urus yang baik serta akauntabiliti dalam pengurusan kutipan derma.
Beliau berkata, RoS akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan input dan pandangan dalam menyediakan garis panduan khusus itu.
“Perkara berkaitan kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar turut dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada penambahbaikan tersebut.
“RoS sedang meneliti keperluan menambah baik kerangka perundangan termasuk cadangan garis panduan khusus serta mekanisme audit bebas bagi pertubuhan yang mengutip dana awam pada skala tertentu.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada penambahbaikan berterusan terhadap Akta Pertubuhan 1966,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar dua NGO yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan dana mencecah jutaan ringgit.
Ia membabitkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang merupakan antara tiga individu ditahan kerana disyaki menyeleweng dana kira-kira RM230 juta.
Satu lagi kes membabitkan seorang pendakwah bebas yang ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa serta menyeleweng dana NGO kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Kedua-dua kes menjadikan sekurang-kurangnya tujuh NGO yang mengutip dana awam seperti derma dan infak kebajikan telah didedahkan SPRM dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini kerana disyaki menyalah guna kutipan bagi kepentingan peribadi.
Mohd. Zulfikar mengakui, kes penyelewengan dana NGO bernilai jutaan ringgit yang dikaitkan dengan individu berpengaruh menimbulkan kebimbangan awam terhadap aspek ketelusan dan integriti pengurusan dana kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar.
“RoS memantau pengurusan dana pertubuhan melalui keperluan pematuhan seperti penyimpanan rekod kewangan yang lengkap, pembentangan penyata kewangan dalam mesyuarat agung tahunan serta mengemukakan dokumen kepada jabatan apabila diminta.
“Pemantauan ini merangkumi semua bentuk kutipan dana sama ada secara fizikal mahupun melalui platform dalam talian termasuk media sosial,” katanya.
Mohd. Zulfikar berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakang sehingga 31 Mac lalu, RoS menerima 314 aduan berkaitan dakwaan salah guna dana melibatkan pertubuhan berdaftar.
Katanya, dalam tempoh sama, sebanyak 21,013 pertubuhan dibatalkan pendaftaran atas pelbagai kesalahan termasuk ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang.
“RoS melaksanakan semakan dan tindakan berdasarkan aduan, ketidakpatuhan atau pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Tindakan yang boleh diambil termasuk amaran, notis pematuhan, pembatalan pendaftaran pertubuhan dan rujukan kepada agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM jika terdapat elemen kesalahan di bawah undang-undang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, RoS akan memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain dalam menangani sebarang isu berkaitan salah guna dana atau pelanggaran undang-undang oleh pertubuhan berdaftar.
Dalam pada itu, reman pendakwah bebas yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana NGO untuk kepentingan peribadi disambung lima hari lagi.
Perintah sambung reman dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an bermula 27 April hingga 1 Mei ini di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan semalam.
Permohonan dibuat Pegawai Pendakwaan SPRM, Zainab Yahaya manakala suspek diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff. – UTUSAN










