Fomca minta pengguna berhemah, pilih produk tempatan

Fomca minta pengguna berhemah, pilih produk tempatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna di Malaysia diingatkan supaya terus berwaspada dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemah bagi menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meruncing susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof. Emeritus Datuk Dr. Marimuthu Nadason berkata, konflik di Asia Barat telah menyebabkan kenaikan harga bahan api, kos pengangkutan dan seterusnya mengakibatkan lonjakan harga barangan serta perkhidmatan di pasaran tempatan.

Katanya, walaupun perkembangan itu berada di luar kawalan individu, pengguna masih boleh mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan beban kewangan dan melindungi kesejahteraan isi rumah.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya mengutamakan perbelanjaan keperluan dengan memberi fokus kepada keperluan asas seperti makanan, utiliti, kesihatan, dan pendidikan.

“Pada masa sama, amalkan pengurusan makanan yang bijak dengan memilih produk tempatan, rancang hidangan dengan teliti, dan kurangkan pembaziran makanan.

“Kurangkan kos pengangkutan dengan menggunakan pengangkutan awam, berkongsi kenderaan, dan rancang perjalanan dengan lebih efisien untuk menjimatkan bahan api.

“Selain itu, amalkan kecekapan tenaga dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan air dengan mengamalkan tabiat penjimatan tenaga di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pengguna perlu memperkukuhkan ketahanan kewangan dengan memantau perbelanjaan, elakkan hutang yang tidak perlu, dan bina simpanan kecemasan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Katanya, pengguna perlu berwaspada terhadap kenaikan harga tidak munasabah dengan membandingkan harga barangan serta melaporkan kenaikan yang tidak berasas atau aktiviti pencatutan kepada pihak berkuasa.

“Pengguna perlu menyokong inisiatif komuniti dengan menyertai pembelian secara koperasi, sistem sokongan komuniti, dan usaha advokasi pengguna,” katanya.

Pada masa sama, Marimuthu juga menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk perniagaan dan pihak berkuasa, untuk bertindak secara bertanggungjawab dan memastikan amalan harga yang adil dalam tempoh mencabar ini.

“Pengguna perlu kekal berinformasi, tenang, dan berdisiplin. Tindakan kolektif serta penggunaan yang bertanggungjawab adalah kunci untuk menghadapi tekanan ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN