PASIR PUTEH: Taktik dua lelaki tempatan menggunakan kenderaan persendirian untuk mengedar rokok seludup terbongkar selepas mereka dicekup dalam satu operasi di tepi jalan dari arah Pasir Puteh menghala ke Kampung Gong Kelih, di sini semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi tersebut dijalankan hasil risikan pihaknya selepas kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai laluan utama pengedaran rokok tidak bercukai ke pasaran tempatan.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, pasukan operasi mengesan dan menahan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan menemukan sejumlah kotak yang disyaki berisi rokok seludup.
“Hasil pemeriksaan lanjut di IPD Pasir Puteh mengesahkan terdapat 26 kotak besar rokok putih yang mengandungi kira-kira 260,000 batang rokok tidak bercukai.
“Kedua-dua lelaki tempatan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut manakala dua buah kenderaan yang digunakan turut dirampas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM508,000.
Katanya, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai diperoleh daripada pembekal tertentu di sekitar Kota Bharu sebelum diedarkan ke negeri Terengganu mengikut permintaan pasaran.
“Modus operandi sindiket adalah menggunakan individu tempatan sebagai runner dengan bayaran kira-kira RM200 bagi setiap penghantaran. Mereka menggunakan kenderaan persendirian bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada JSJ IPD Pasir Puteh untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN










