Dua lelaki dihukum penjara enam tahun rogol gadis bawah umur - Utusan Malaysia

Dua lelaki dihukum penjara enam tahun rogol gadis bawah umur

MOHD. Airul Abu Talib (depan) dan Muhammad Asri Mohd. Hussin (belakang) dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur dalam kejadian pada 2024 dan bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur dalam kejadian pada 2024 dan bulan lalu.

Hakim Jean Sharmila Jesudason menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Airul Abu Talib, 28, dan Muhammad Asri Mohd. Hussin, 25, mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Airul didakwa telah merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun lapan bulan di sebuah rumah di Kampung Sungai Timah, Mukim Bandar dalam Daerah Perak Tengah pada pukul 3 petang, Jun 2024.

Tertuduh Muhammad Asri juga didakwa bagi kesalahan serupa membabitkan remaja yang sama di mana kejadian rogol itu dilakukan di Parit 3 Pak Ya Sireh, Sungai Jejawi dalam Daerah Perak Tengah pada pukul 7 petang, 21 Mac 2026.

Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, Mohd. Airul dan Muhammad Asri yang masing-masing bekerja sebagai pemandu jengkaut dan buruh binaan itu mengakui kesilapan mereka dan mendakwa telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu juga memohon hukuman rendah dikenakan ke atas mereka dan penjara bermula daripada tarikh ditangkap.

“Saya menyesal atas perbuatan saya dan memohon mahkamah mengenakan hukuman rendah kerana mempunyai tanggungan ibu dan adik-adik,” ujar Mohd. Airul.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Jean Sharmila kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dari tarikh tangkap pada 22 Mac lalu terhadap kedua-dua tertuduh bersama tiga kali sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua lelaki itu diletakkan di bawah pengawasan polis untuk tempoh tiga tahun sebaik sahaja selesai hukuman selain menghadiri kaunseling sepanjang tempoh penahanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN