SABAK BERNAM: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Saga dinaiki bersama isteri dan anaknya terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu terbalik dekat Kampung Belia 2, Sungai Panjang di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.25 tengah hari tadi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar ke tempat kejadian.
“Terdapat tiga orang mangsa iaitu lelaki berusia 30-an yang tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.
“Dua penumpang lain iaitu seorang wanita juga berusia 30-an yang mengalami cedera parah dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami cedera ringan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, dua mangsa iaitu kanak-kanak dan kanak-kanak dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Pemandu yang tersepit dikeluarkan pada pukul 3.03 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Sementara wanita dan kanak-kanak dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk menerima rawatan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Md. Yusof Ahmad sedang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN










