SEREMBAN: Sebanyak 12 kes membabitkan ajaran sesat di Negeri Sembilan telah didakwa di Mahkamah Syariah negeri ini dari tahun 2020 hingga kini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah tersebut dua kes melibatkan ajaran sesat Millah Abraham di Tampin; satu kes Ahmadi The Religion di Seremban, dua kes tilik nasib dan satu kes Imam Mahdi di Seremban serta dua kes Ajaran Cahaya di Kuala Pilah.
Beliau yang juga Pengerusi Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri berkata, kesemua kes itu telah disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman.
Menurutnya, bagi dua kes iaitu membabitkan Hizbut Tahrir dan GISBH di Kuala Pilah, tertuduh telah dilepas dan dibebaskan manakala dua kes lagi iaitu Asmaul Husna, Wan Mseri dan GISBH di Rembau masih dalam perbicaraan.
“Golongan ini biasanya menyasarkan individu yang lemah asas pengetahuan agama dan kebanyakan pengikut tidak menyedari mereka telah menyimpang daripada akidah Islam sebenar.
“Terdapat juga kes melibatkan ahli keluarga sendiri menyebabkan ada dalam kalangan mereka enggan memberi kerjasama ketika siasatan atau menarik diri sebagai saksi semasa perbicaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Wisma Negeri di sini hari ini.
Selain itu, Aminuddin berkata, Jabatan Mufti Negeri Sembilan juga telah memfatwakan beberapa ajaran sebagai sesat dan akan dipantau secara aktif oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dengan kebanyakan aktiviti dilakukan secara tertutup.
“Ajaran-ajaran ini tumpuannya bukan di Negeri Sembilan sebaliknya hanya menjadi tempat persinggahan selepas mereka dikenakan tindakan atau difatwakan sesat di negeri lain kerana kedudukannya yang menghubungkan laluan utama dari selatan, timur, barat dan utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, setakat ini lebih 300 orang telah mengikuti program bimbingan dan advokasi yang dijalankan oleh JHEAINS bagi memastikan mereka kembali kepada pegangan Islam sebenar berdasarkan akidah Ahli Sunnah Waljamaah. – UTUSAN










