Sarawak tawar penjimatan pakej melancong 40% sempena Matta Fair KL 2026

Sarawak tawar penjimatan pakej melancong 40% sempena Matta Fair KL 2026

sarawak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang merancang percutian kini berpeluang menikmati penjimatan sehingga 40 peratus  bagi pakej pelancongan ke Sarawak yang disediakan khas bersempena MATTA Fair Kuala Lumpur 2026, eksklusif di Pavilion Sarawak, Booth 1R01. 

Tawaran ini merupakan sebahagian daripada kempen Sia Sitok Sarawak, yang diterajui oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF), bagi menggalakkan pelancong membuat tempahan percutian ke Sarawak secara terus sepanjang pameran berlangsung. 

Di Pavilion Sarawak, pengunjung berpeluang menemui 35 pempamer, terdiri daripada 24 pengusaha pelancongan serta 11 pempamer bukan perdagangan yang menampilkan seni, budaya dan gastronomi Sarawak, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh tentang keunikan destinasi ini, bukan hanya sekadar pakej pelancongan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengunjung boleh meneroka lebih daripada 80 pakej pelancongan bersepadu yang ditawarkan oleh 17 pengendali pelancongan berlesen Sarawak, masing-masing direka sebagai pengalaman percutian sekurang-kurangnya untuk tiga hari dua malam (3H2M). 

Pakej-pakej ini merangkumi penginapan, lawatan terancang, pengangkutan serta pengalaman berpandu, membolehkan pelancong menikmati pengalaman percutian lengkap ke Sarawak pada nilai yang amat berbaloi sepanjang pameran. 

Promosi eksklusif ini hanya kepada pengunjung yang membuat tempahan mereka sepanjang tiga hari MATTA Fair Kuala Lumpur bersama ejen Sarawak yang mengambil bahagian di pavilion tersebut. 

Pakej yang ditempah semasa pameran, sah untuk perjalanan dari April hingga 15 Disember 2026, memberi fleksibiliti kepada pelancong untuk menempah percutian Sarawak lebih awal sekarang dan merancang perjalanan kemudian dalam tahun ini. 

Pengalaman pelancongan yang ditawarkan merangkumi pelbagai wilayah di Sarawak, mencerminkan kepelbagaian landskap dan budaya negeri ini.

 Di Sarawak Selatan, Kuching menawarkan jalan-jalan warisan, budaya yang hidup serta akses kepada hidupan liar dan taman negara. 

Sarawak Tengah, berpusat di Sibu, menawarkan pengalaman menyusuri Sungai Rajang, lawatan ke rumah panjang tradisional dan pengalaman budaya autentik. 

Sementara itu, Sarawak Utara menawarkan akses melalui bandar pesisir Miri, tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah, serta landskap tanah tinggi yang nyaman di Bario. 

Pelancong juga boleh merancang percutian seiring dengan kalendar acara Sarawak yang meriah sepanjang tahun, antaranya Rainforest World Music Festival (RWMF) 2026, yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2026 di Kampung Budaya Sarawak. 

Diiktiraf sebagai salah satu festival muzik paling unik di Asia Tenggara, RWMF menghimpunkan pemuzik antarabangsa dan serantau termasuk Datuk’ M. Nasir, The Commodores menampilkan Thomas McClary dan Incognito, di samping bengkel interaktif pada waktu siang, pertukaran budaya serta persembahan malam berlatarbelakangkan hutan hujan Borneo. 

Sebagai pelengkap kepada tawaran pelancongan, pavilion ini turut mengetengahkan seni, budaya dan warisan kulinari Sarawak, dengan penyertaan pempamer bukan perdagangan yang mempamerkan kraf tradisional, ekspresi budaya dan citarasa tempatan yang mencerminkan kepelbagaian komuniti negeri ini. 

Dengan Penjimatan untuk tempoh terhad yang hanya ditawarkan sepanjang MATTA Fair, Pavilion Sarawak menawarkan peluang terbaik kepada pengunjung untuk menikmati percutian bernilai tinggi sambil meneroka pelbagai sisi Sarawak. 

Orang ramai boleh mengunjungi Pavilion Sarawak di Booth 1R01 di MATTA Fair Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini