Dua lelaki didakwa jadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan

Dua lelaki didakwa jadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi `keldai akaun’ kepada sindiket penipuan jualan dan pelaburan dalam talian, tahun lalu.

Tertuduh, Azlan Shah Shahrim Effendy, 30, dan Muhammad Dafy Irfan Mohd. Asmadi, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Zamir Suhaimee dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, Azlan Shah, seorang penganggur didakwa menggunakan akaun sebuah bank atas nama Huatai Wholesale Trading miliknya bagi menerima transaksi berjumlah RM51,000 tanpa maksud yang sah di Horizon Hills, Iskandar Puteri antara 8 hingga 12 Mei, tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang boleh didenda sehingga RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Dafy Irfan yang bekerja sebagai pembantu gerai makan, didakwa atas pertuduhan pilihan kerana secara tidak jujur menolong mengalihkan wang berjumlah RM700 milik seorang lelaki ke dalam akaun bank miliknya di Jalan Nusa Bestari 9/8, Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri pada 31 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari dan Nur Diyana Zubir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Muhammad Dafy Irfan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan, manakala tiada jaminan dibenarkan ke atas Azlan Shah kerana sedang menjalani hukuman penjara bagi kes berasingan.

Mahkamah menetapkan 4 Mei dan 4 Jun depan untuk sebutan semula kedua-dua kes berkenaan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN