NARATHIWAT (THAILAND): Ahli Parlimen Kawasan 5 Narathiwat, Kamonsak Leewamoh yang terselamat daripada cubaan bunuh Mac lalu, menyerahkan semua bukti berkaitan kejadian itu kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
Komonsak atau Wan Johan berkata, beliau menyerahkan dokumen tersebut semasa pertemuan tertutup bersama pemimpin itu di rumah penasihat Perdana Menteri, Wan Muhamad Noor Matha di Yala, kelmarin,
“Pada pertemuan itu, saya memberi maklumat sulit kepada Perdana Menteri untuk membantu mengenal pasti dalang dan sedang cuba memastikan fakta di lapangan berkaitan serangan pada 20 Mac lalu.
“Saya mengambil kesempatan itu dengan meminta perlindungan daripada Perdana Menteri kerana bimbang terhadap ancaman keselamatan pada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Johan berkata, selagi dalang sebenar yang menyerangnya belum ditahan, selagi itu hidupnya tidak tenteram.
“Hidup saya sekarang tidak sama seperti dahulu. Selagi pelaku dan dalang tidak ditangkap, hidup saya tidak selamat.
“Malah, penduduk juga meminta saya tidak hadir beberapa acara di sekitar Parlimen Narathiwat kerana bimbang terhadap ancaman keselamatan,” katanya.
Tentang maklumat sulit yang diserahkan kepada Perdana Menteri Thailand, beliau berkata, sama ada berkesan atau tidak, ia bergantung kepada bukti saintifik.
Jelasnya, sehingga kini empat individu yang disyaki terbabit dalam serangan itu ditahan manakala seorang lagi masih diburu dan dipercaya melarikan diri ke luar negara.
Katanya, semasa pertemuan itu beliau secara rasmi memohon perlindungan keselamatan daripada Kerajaan Thailand, khususnya Kementerian Kehakiman. -UTUSAN











