ALOR SETAR: Pasar raya premium, Cold Storage meluaskan rangkaiannya melalui pembukaan rasmi cawangan di The Tenz Emporium, di sini yang menjadi mercu tanda baharu kepada sektor peruncitan di utara tanah air.
Premis itu merupakan transformasi tapak ikonik pawagam lama Tai Kuan di Simpang Kuala yang mana ia direka sebagai destinasi runcit berteraskan komuniti dan menghormati warisan lampau sambil memenuhi keperluan gaya hidup kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Imperio Group, Lee Woei Nen berkata, perubahan itu bukan sahaja merancakkan lagi landskap ekonomi dan gaya hidup komuniti bandar raya ini tetapi selari dengan momentum peningkatan minat komersial terhadap Alor Setar.
“Kami mahu memastikan lokasi ikonik ini terus menjadi pusat tumpuan masyarakat seperti mana peranannya sebelum ini dan kehadiran jenama ini juga menjadi detik penting yang merealisasikan visi untuk bandar Alor Setar.
“Kami berbangga dapat membawa lokasi bersejarah ini ke fasa baharu yang saya percaya pasar raya ini dapat meningkatkan dan memacu lagi ekonomi Alor Setar,” katanya pada majlis pembukaan rasmi Cold Storage di Simpang Kuala di sini, hari ini.
Pembukaan dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail Sdn Bhd, Cheah Yong Hock.
Menurut Yong Hock pula, pembukaan Cold Storage cawangan kelima di Malaysia itu didorong oleh permintaan masyarakat dan pihaknya menawarkan produk segar serta rangkaian produk jenama global yang premium.
“Kami melihat potensi besar Alor Setar, didorong permintaan masyarakat yang mementingkan aspek kualiti serta kemudahan. Komitmen kami adalah untuk memperkasa kualiti hidup komuniti setempat menerusi standard peruncitan kelas pertama, dengan menawarkan produk segar serta rangkaian jenama global yang premium.
“Apa yang kami tawarkan ini adalah lebih daripada sekadar pembukaan sebuah pasar raya kerana ia merupakan satu pengalaman membeli-belah bertaraf dunia buat wilayah utara,” ujarnya
Sementara itu, Abdul Gafar berkata, Alor Setar sering dianggap sebagai pasaran sekunder yang hanya menunggu giliran untuk menerima limpahan pembangunan, namun bandar raya ini mempunyai keupayaan serta daya saing yang jauh lebih hebat.
“Seiring dengan itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah memperkenalkan ‘New Approval for Development Initiative’ (NADI) yang memudahkan proses kelulusan pembangunan yang sebelum ini mengambil masa 99 hari kepada hanya 27 hari sahaja.
“Kehadiran Cold Storage di The Tenz Emporium ini mencerminkan transformasi landskap bandar Alor Setar yang dijangka mampu menjadi nadi utama kepada penduduk setempat,” katanya. –UTUSAN









