Chacha Maembong dituduh berlagak diva hanya kerana muka nampak penat - Utusan Malaysia

Chacha Maembong dituduh berlagak diva hanya kerana muka nampak penat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Chacha Maembong mendedahkan pernah dilabel sombong dan dikatakan berlagak ‘diva’ kerana raut wajahnya.

Menurut Chacha atau Siti Aishah Ismail, 30, komen itu diberikan secara rawak ada kalanya dia kelihatan kurang ceria disebabkan faktor keletihan setelah seharian bekerja.

“Kalau orang tidak kenal saya, mereka akan cakap saya sombong atau diva. Semuanya sebab rupa paras.

“Tetapi hakikatnya tidaklah begitu, saya cuma bersikap rendah diri. Itulah lumrah, bila orang tidak tahu perkara sebenar mereka akan terus menghakimi. Namun apabila sudah kenal, baru mereka tahu saya sebenarnya berbeza.

“Adakalanya orang nampak saya macam sombong sebab saya penat,” katanya.

Chacha ditemui semasa majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment di sini, semalam.

Bagaimanapun, Chacha memilih untuk tidak melatah atau menyimpan perasaan amarah terhadap individu yang melemparkan tuduhan tersebut.

“Saya tak marah sebab bagi saya, itu bukan diri saya yang sebenar. Saya percaya pada diri sendiri dan saya kenal siapa saya. Jadi, apa sahaja yang orang cakap, saya tidak masukkan ke dalam hati.

“Sebagai pelakon, mental kena kuat. Kalau ada yang kata saya diva, saya cuma balas dengan ucapan terima kasih sahaja,” jelasnya.

Tambah pelakon drama Cukup Derita Itu, dia memegang teguh prinsip untuk tidak membalas kejahatan dengan kejahatan kerana percaya kepada konsep kifarah atau karma.

Jelasnya, membalas semula kata-kata nista hanya akan memberikan kepuasan sementara dan tidak akan menyelesaikan sebarang masalah, malah mungkin akan menambah dendam di hati pihak lawan.

“Dari dulu lagi saya selalu pegang ayat ini: ‘Biar orang buat kita, jangan kita buat orang’. Saya percaya kepada karma. Apa yang kita buat, itulah yang akan balik semula kepada kita.

“Kalau kita lawan balik, benda takkan ke mana. Hujung-hujung nanti kita hanya mahu puaskan hati sendiri sahaja bukan mahu menyedarkan orang itu. Jadi, lebih baik saya balas dengan kebaikan. Biar mereka sendiri yang berfikir semula tentang tindakan mereka,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN