KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara menolak representasi dua warga China berhubung tuduhan menceroboh kawasan larangan di Kementerian Pertahanan, tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi semasa sesi pengurusan kes di hadapan Hakim Suhaila Haron di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan selama empat hari bagi sesi perbicaraan di peringkat pendakwaan iaitu pada 29 hingga 30 April dan 3 hingga 4 Jun serta tarikh keputusan pada 30 Jun ini.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan dijangka mengemukakan tujuh saksi sepanjang perbicaraan berhubung kes tersebut.
Kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam bela, Ooi Hong Ming.
Mengikut pertuduhan pertama, Luorong dan Junhao didakwa secara bersama menerbangkan sebuah dron DJI Mavic 3 Enterprise untuk membuat rakaman dari udara di kawasan larangan yang diwartakan, tanpa kebenaran dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud memudaratkan keselamatan negara.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan Padang Bola B, Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak kira-kira pukul 11.50 pagi, 6 Ogos tahun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan dron sama untuk membuat rakaman dari udara dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa pada lokasi, tarikh dan masa sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, polis menahan dua lelaki warga China disyaki menceroboh kawasan larangan di Wisma Pertahanan, di sini, 6 Ogos lalu.
Mohammad Lazim berkata, kedua-dua suspek ditahan anggota rondaan polis tentera (MP) ketika menerbangkan dron di kawasan padang bola berhampiran wisma berkenaan.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-duanya mendakwa rakaman dron itu dibuat atas arahan majikan, namun mereka tidak mengetahui tujuan sebenar. – UTUSAN










