Buku rujukan tambahan bantu calon hadapi SPM - Utusan Malaysia

Buku rujukan tambahan bantu calon hadapi SPM

(Dari kanan) ASRI Alangka, Monessa Loo Wing Kaa dan Lam Ming Hin melihat buku rujukan tambahan SPM yang mereka terima di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani di Ipoh. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 gembira menerima inisiatif pemberian buku rujukan tambahan daripada kerajaan negeri di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani.

Mereka yakin inisiatif itu membantu mereka mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Lam Ming Hin, Asri Alangka dan Monessa Loo Wing Kaa, masing-masing berumur 17 tahun antara pelajar yang menerima inisiatif itu turut menyifatkan buku rujukan yang diterima membantu ibu bapa mereka yang berpendapatan rendah.

Asri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Kinta di sini berkata, buku rujukan tambahan itu banyak membantunya untuk mencapai keputusan yang baik dalam SPM nanti, seterusnya mengejar cita-cita sebagai seorang jurutera elektrik.

“Ayah saya hanya bekerja kampung mengutip hasil hutan dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan.

“Selain itu ayah perlu menyara ibu yang tidak bekerja selain abang saya. Pemberian buku rujukan ini selain program tuisyen percuma banyak membantu kerana kekangan kewangan keluarga,” katanya.

Monessa, pelajar SMK Yuk Choy di Ipoh berkata, pemberian buku rujukan tambahan inisiatif Yayasan Perak itu banyak membantunya dalam persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Dia bercita-cita menyambung pengajian berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pendidikan kanak-kanak di negeri ini, yang mempunyai banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terkemuka.

“Kerajaan negeri juga membantu yuran pengajian awal menerusi bantuan sekali bayar atau one-off sebanyak RM1,000 di bawah Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP).

“Selain itu, ada kursus jangka masa pendek berkaitan TVET dengan potensi pasaran kerja yang tinggi dianjurkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak),” katanya.

Rakannya, Ming Hin juga bercita-cita berbakti di negeri ini sebaik sahaja menamatkan pengajian nanti.

Bantuan kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menepati flagship keempat iaitu Koridor TVET Malaysia.

Ia juga menepati flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN