PUTRAJAYA: Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) untuk sektor awam mulai 15 April ini dilihat sebagai pendekatan proaktif kerajaan dalam mengoptimumkan perbelanjaan operasi negara.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, matlamat utama pelaksanaan inisiatif ini dibuat bagi mendepani cabaran krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
“Matlamat BDR ini adalah untuk memastikan bagi sektor awam terutamanya, kita dapat mengendalikan penggunaan bahan bakar dengan efisien.
“Hasratnya adalah untuk menyaksikan penjimatan daripada penggunaan bahan bakar oleh penjawat awam,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Kabinet dan Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di sini, hari ini.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah mulai 15 April ini membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pelaksanaan BDR tidak akan membabitkan sektor tertentu seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan serta sektor lain yang akan diberikan pengecualian.
“Bagi sektor komunikasi sebagai contoh, kita serahkan kepada ketua jabatan untuk meneliti selagi mana fungsi asas tidak terkesan.
“Hari ini kita tahu untuk berkomunikasi dengan khalayak umum kita boleh ‘WFH’ atau ‘work from handphone’. Jadi saya percaya dalam tempoh BDR ini rakan-rakan terutama Jabatan Penerangan dan beberapa yang lain masih boleh berfungsi di mana sahaja mereka berada,” katanya.-UTUSAN










