Azmin gesa Amirudin letak jawatan

Azmin gesa Amirudin letak jawatan

AZMIN ALI (kiri) dan AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sepatutnya melepaskan jawatan kerana gagal menurut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri yang diketuai Amirudin gagal mengambil serius titah Sultan Selangor berhubung urus tadbir negeri.

Mohamed Azmin memetik titah Sultan Sharafuddin ketika istiadat pembukaan Sidang DUN pada 20 April lalu.

“Siapa daun keladi? Kalau saya menjadi beliau duduk di situ, saya tidak ada pilihan lain. Lebih baik letak jawatan, kalau titah Tuanku Sultan pun tidak diambil berat, bagaimana pula pandangan rakyat di bawah,” katanya ketika berucap di Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Bendahari Agung Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan dukacita apabila masih terdapat pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dan enggan untuk mematuhi titah baginda berhubung larangan penternakan babi di negeri ini.

Baginda bertitah, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan tanah, selain kedudukan ladang ternakan yang berada di kawasan penempatan penduduk padat dengan umat Islam.

Mohamed Azmin yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Selangor berkata, kegagalan urus tadbir negeri juga dapat dilihat melalui pelbagai isu membabitkan rakyat seperti banjir, masalah kebersihan dan isu jalan rosak yang berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh.

Menurutnya, keadaan itu tidak mencerminkan identiti Selangor sebagai negeri maju dan penyumbang ekonomi negara.

“Banjir, sampah, jalan berlubang bukanlah jati diri negeri Selangor. Sebab itu, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menggantikan kerajaan daun keladi dengan kerajaan yang peduli rakyat di negeri Selangor,” katanya.

Tambahnya, Bersatu Selangor akan terus memperkukuh gerak kerja bagi menawarkan pentadbiran yang lebih prihatin dan berorientasikan penyelesaian kepada rakyat.

“Konvensyen ini menjadi platform memperkukuh persiapan jentera Bersatu dan meyakinkan rakyat bahawa Selangor memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar peduli serta menghormati institusi diraja dan suara rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN