PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyerahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan ‘mafia korporat’ yang membabitkan namanya.
Azam berkata, beliau tidak perlu membuat sebarang ulasan mengenai siasatan yang sedang dijalankan walaupun PDRM sendiri sudah mengesahkan tiada pembabitan pegawai mahupun kepimpinan kanan SPRM dalam siasatan itu.
“Saya tidak ingin mengulas mengenai perkara itu kerana kami menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM dan tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang berjalan.
“PDRM sendiri sudah mengeluarkan kenyataan menyatakan perkara ini tiada kaitan dengan SPRM. Itu sahaja. Saya tidak ingin mengulas lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF): Way Forward oleh Bahagian Operasi Khas (BOK), di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan siasatan PDRM terhadap ‘mafia korporat’ yang membabitkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong, mendapati tiada pembabitan pegawai SPRM.
Siasatan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sejak Oktober lalu memanggil 41 individu untuk memberi keterangan namun tiada pegawai SPRM atau kepimpinan kanan yang dipanggil.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pasukan AMLA PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, tiada pegawai SPRM dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan itu. – UTUSAN










