Azalina setuju pindaan undang-undang, hukuman lebih berat bagi pemandu mabuk

Azalina setuju pindaan undang-undang, hukuman lebih berat bagi pemandu mabuk

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peruntukan hukuman dikenakan ke atas pemandu mabuk khususnya yang mengakibatkan kemalangan maut perlu ditingkatkan bagi membangkitkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mengakui wujud keperluan tersebut sambil berpandangan hukuman di bawah undang-undang sedia ada masih belum memadai berbanding kesalahan dilakukan.

“Apatah lagi sehingga mengakibatkan orang tidak bersalah meninggal dunia,” katanya pada sidang akhbar dalam program Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian katanya bertanggungjawab wajar mengkaji semula undang-undang sedia ada berkaitan kes kemalangan maut akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, daripada segi hukuman kementerian terlibat perlu melihat semula akta berkaitan sebelum dibawa ke Parlimen untuk pindaan bagi memastikan hukuman lebih setimpal dan berat

“Bagi saya, hukuman yang berat penting untuk menimbulkan rasa gerun dalam kalangan rakyat, supaya mereka tidak memandang ringan kesalahan hanya kerana boleh membayar denda.

“Apabila denda RM50,000 boleh diskaun kepada RM20,000, ia mungkin menimbulkan tanggapan dalam kalangan masyarakat bahawa hukuman itu boleh diringankan,” katanya.

Azalina turut menyatakan, kesedaran masyarakat untuk menjauhi kesalahan perlu diperkukuh melalui peruntukan undang-undang yang lebih berat dan berpadanan.

Katanya, undang-undang perlu diperincikan, termasuk melalui pindaan, supaya setiap kesalahan dan kadar denda dinyatakan dengan jelas.

“Jika denda dilihat rendah, individu mungkin menganggap kesalahan itu boleh diselesaikan dengan bayaran,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap APJ 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

Menterinya Anthony Loke berkata, kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Langkah itu susulan kes tragis melibatkan Allahyarham Amirul Hafiz yang maut apabila badannya terpelanting sebelum tercampak ke atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu mabuk.

Pemandu yang bernama R. Saktygaanapathy, 28, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz, 33, di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap Saktygaanapathy yang mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini