Apa agenda Samsuri terhadap orang Melayu?

Apa agenda Samsuri terhadap orang Melayu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK seminggu lalu, pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Terengganu kelihatan sangat bersungguh-sungguh mempromosikan program Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung dua hari di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus bermula hari ini.

Ada pemimpin termasuk dalam kalangan Exco Kerajaan Negeri Terengganu menyiarkan gambar mereka berbusana tradisional Melayu dengan menulis ‘Insya-Allah hadir’ untuk sama-sama mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu.

Malah, turut tersebar poster palsu memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan akan menghadiri program bersempena Penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 berkenaan.

Kerajaan Negeri Terengganu menyifatkan penganjuran program itu sebagai platform penting dalam usaha memperkukuh perpaduan umat Islam dan bangsa Melayu khususnya melibatkan negara serumpun.

Pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah adalah berdasarkan komitmen kerajaan negeri yang konsisten dalam memperjuang agenda penyatuan ummah selain faktor demografi negeri itu yang mempunyai lebih 97 peratus penduduk Melayu Islam.

Ia mengangkat tema ‘Satu Ummah’ yang menekankan aspek kesatuan umat Islam dan orang Melayu dalam pelbagai lapangan termasuk politik. Jemputan turut diberikan kepada kepemimpinan parti seperti Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Persoalannya, apakah wakil parti ini, khususnya UMNO akan muncul?

Tokoh pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik juga dijangka hadir bagi berkongsi mengenai sejarah penyebaran Islam di Alam Melayu serta kaitannya dengan perkembangan dakwah dari India. Empat Menteri Besar (SG) juga turun gelanggang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan penganjuran program berskala besar itu menjadi medan penting bagi meghimpunkan umat Islam dalam memperkukuh ukhuwah serta membina gelombang perpaduan yang lebih menyeluruh di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijadual merasmikan program berkenaan pada hari pertama. Pastinya ucaptama beliau menjadi tumpuan selepas mengambil alih teraju kepemimpinan PN pada 22 Februari lalu.

Apatah lagi isu perpaduan Melayu sedang hangat diperkatakan termasuk kenyataan terbaharu Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu tidak mampu menjadi Perdana Menteri sekiranya wujud terlalu banyak parti akibat perpecahan sesama mereka.

Justeru itu, sebagai pemimpin blok pembangkang yang berhasrat menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, pandangan Ahmad Samsuri atau Dr. Sam berhubung orang Melayu pasti menjadi tumpuan. Beliau seharusnya mengambil peluang di pentas berkenaan untuk mengutarakan agenda terhadap perpaduan orang Melayu khususnya dalam politik.

Penganjuran Himpunan Alam Melayu 2026 perlu mencapai matlamatnya untuk mewujudkan gelombang perpaduan ummah yang lebih besar. Bukan sekadar program berskala besar yang hanya meriah dengan penganjuran karnival, pameran dan gerai jualan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN