Anwar, kerajaan dan lima pihak lain diarah fail pembelaan

Anwar, kerajaan dan lima pihak lain diarah fail pembelaan

SERAMAI 11 peserta himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) memfailkan saman terhadap Perdana Menteri dan enam defendan lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia dan lima pihak lain memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman berhubung penangkapan dan penahanan salah semasa himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) di Kompleks Beli-Belah Sogo, Februari lalu.

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili 11 peserta Garah sebagai plaintif berkata, defendan perlu memfailkan pernyataan pembelaan sebelum tarikh pengurusan kes pada 21 Mei ini.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nik Nur Amalina Mat Zaidan.

Kesemua defendan diwakili Peguam Persekutuan, Muhammad Faris Haziq.

Menerusi saman itu, defendan pertama hingga ketiga ialah anggota-angota polis lain yang belum dinamakan, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Selain itu, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Anwar dan kerajaan Malaysia sebagai defendan keempat hingga ketujuh.

Sebelum ini, Zainul Rijal berkata, plaintif terdiri daripada 11 individu termasuk aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi menuntut satu permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada kesemua defendan.

Jelasnya, saman itu juga difailkan kerana terdapat kekerasan atau serangan yang tidak perlu dalam proses penangkapan oleh defendan pertama (anggota polis) dan defendan ketujuh sebenarnya bertanggungjawab untuk menanggung rugi terhadap plaintif.

Februari lalu, polis mengesahkan menahan seramai 19 individu termasuk penyelaras himpunan Garah, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran Sogo.

Fadil berkata, penahanan mereka bagi mengelak daripada berlaku apa-apa yang lebih teruk atau perkara yang tidak dapat dijangka dan melarat atau berlaku jenayah lain akibat tindakan berhimpun itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN