KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini dilihat sebagai pemacu utama daya saing syarikat tempatan dalam mendepani perubahan landskap digital global yang semakin pantas dan mencabar.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Megademy Global, Lee Siew Hock menegaskan cabaran sebenar bukan lagi memahami teknologi tersebut, sebaliknya bagaimana ia diterjemahkan kepada hasil perniagaan yang nyata.
Menurut beliau, banyak syarikat masih terperangkap pada tahap teori tanpa mampu memaksimumkan potensi sebenar AI dalam operasi harian.
“Cabaran utama AI bukan teknologi, tetapi pelaksanaannya. Syarikat perlu melihat bagaimana AI boleh meningkatkan jualan, mempercepat proses kerja dan mengurangkan kos operasi secara berkesan,” kata Siew Hock.
Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat eksekutif ‘Silicon Valley AI Advantage – What Malaysian CEOs Must Understand Now’ yang berlangsung di Menara MATRADE, baru-baru ini.
Program itu turut menghimpunkan pemimpin industri termasuk pakar AI Silicon Valley, PJ Tan serta Pengerusi ASEAN Influential Award, Jann Lim.

Mengulas lanjut, Siew Hock berkata AI kini berperanan sebagai pemangkin transformasi perniagaan khususnya dalam aspek interaksi pelanggan, pengurusan data dan sokongan membuat keputusan strategik.
Katanya, integrasi AI dalam sistem komunikasi seperti WhatsApp dan e-mel membolehkan syarikat memberi respons lebih pantas sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan dan kadar penukaran jualan.
“AI hari ini bukan sekadar alat sokongan, tetapi boleh berfungsi seperti tenaga kerja digital yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai operasi syarikat,” katanya.
Tambah beliau, pelancaran Intelligent SalesForce Multiplier (ISM) menjadi bukti bagaimana AI boleh diterapkan secara praktikal bagi membantu syarikat mengautomasi interaksi pelanggan dan mengembangkan operasi tanpa pertambahan tenaga kerja.
Jelasnya, penyelesaian tersebut direka mengikut keperluan tempatan bagi membolehkan syarikat Malaysia mengadaptasi pendekatan AI Silicon Valley secara lebih efektif.
“ISM direka dengan penekanan kepada penyesuaian mengikut keperluan tempatan, membolehkan syarikat Malaysia mengaplikasikan pendekatan AI Silicon Valley secara praktikal — khususnya dalam proses jualan dan penukaran pelanggan,” katanya. – UTUSAN










