PETALING JAYA: “Lupakan Perikatan Nasional (PN), move on sahajalah.”
Itu nada tegas dan sinis Tun Faisal Ismail Aziz terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin apabila parti baharu ditubuhnya dikatakan bakal memohon menyertai PN dalam masa terdekat.
Beliau menggesa Hamzah dan kumpulan pemimpin yang menyokongnya supaya melupakan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menyertai Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung yang digagaskan UMNO.
Katanya, mereka juga boleh menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 bersama parti itu jika direstui Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Lupakan PN, move on sahajalah. Kan lebih elok sertai Rumah Bangsa dan kolaborasi agung tajaan Zahid Hamidi. Penat saja ada ‘Langkah Bangkok’.
“(Boleh) bawa bersama semua ‘Geng SD’ (akuan bersumpah) dan penyokong yang ada. Masuk parti yang sudah sedia ada, misalnya yang sudi terima melalui Rumah Bangsa.
“Kalau Ahmad Zahid ikhlas, minta dia kekalkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Geng SD untuk bertanding di kerusi disandang termasuk (Parlimen) Larut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan pihak terlibat supaya tidak ‘buat-buat lupa’ terhadap Akta Lompat Parti serta sumpah dan bai‘ah yang pernah dilafazkan sebelum ini.
Pada 13 Februari lalu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat keahliannya dalam Bersatu kerana melanggar perlembagaan parti susulan kritikan dan dakwaan beliau cuba menyingkirkan Presiden parti terbabit, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Hamzah sebelum ini menyatakan tidak berhasrat menyertai semula UMNO, namun tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik demi kepentingan rakyat.
Katanya, fokus utama ketika ini untuk memperkukuh kerjasama politik bagi menyelamatkan negara menerusi agenda ‘reset’ yang dibawa oleh beliau.- UTUSAN









