PETALING JAYA: Sekatan jalan raya (SJR) dan operasi khas bersepadu berskala tinggi akan dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti pemandu mabuk di jalan raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, SJR di waktu berisiko tinggi seperti di tengah malam dan hujung minggu juga akan digiatkan.
“Operasi sebegini bukan sahaja mampu mengesan pesalah secara langsung malah memberikan kesan pencegahan psikologi (deterrence effect) kepada pengguna jalan raya.
“Kehadiran pihak berkuasa secara konsisten di lokasi dan waktu berisiko tinggi turut meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang,” katanya hari ini.
Menurutnya, walaupun statistik menunjukkan kemalangan akibat pemandu di bawah pengaruh adalah rendah namun kehilangan nyawa memberikan kesan mendalam kepada masyarakat khususnya keluarga mangsa.
Katanya, berdasarkan statistik JSPT pada 2024 sebanyak 27 kemalangan maut membabitkan pemandu bawah pengaruh alkohol atau dadah dan 31 kes sepanjang tahun lalu.
“Walaupun peningkatan ini tidak terlalu ketara namun setiap kes yang berlaku membawa implikasi kehilangan nyawa yang amat serius dan seharusnya tidak dipandang ringan.
“Hakikatnya, kes-kes sebegini adalah berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan oleh itu JSPT memandang perkara ini dengan penuh keprihatinan dan kesungguhan,” jelasnya.
Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah besar daripada sudut undang-undang mahupun siasatan dalam isu pemandu mabuk.
Katanya, kerjasama erat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) membantu memastikan setiap pendakwaan mendapat perhatian sewajarnya.
“Sokongan padu daripada pihak pendakwaan membolehkan proses siasatan dan pendakwaan dijalankan dengan lebih lancar dan berkesan.
“Cabaran utama dihadapi bukan sekadar daripada sudut penguatkuasaan di lapangan, tetapi lebih kepada membentuk kesedaran, tanggungjawab dan nilai moral dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN









