KUALA LUMPUR: UMNO melihat keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyokong parti itu untuk menubuhkan Kerajaan Negeri sebagai cubaan untuk mengambil peluang yang ada.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak mengiyakan atau menidakkan kerjasama yang mungkin dijalinkan dengan seterunya iaitu PN di Negeri Sembilan.
“Dalam politik tentu peluang sedang dicari dan tentu peluang ini yang cuba dirangkul oleh mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Wawancara Eksklusif Bersama Presiden UMNO, di sini, hari ini.
Terdahulu, 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
Katanya, beliau bersama 13 lagi ADUN mewakili BN amat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku ketika ini.
Susulan penarikan sokongan itu, PN Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan UMNO atas kepentingan rakyat.
Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, lima ADUN gabungan itu mengikuti perkembangan krisis kepimpinan kerajaan negeri sejak beberapa minggu yang lalu. – UTUSAN










