KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah menghargai sokongan padu dinyatakan kepimpinan Pas untuk beliau menerajui pentadbiran negeri sehingga habis penggal.
Abu Bakar berkata, beliau sangat menghargai usaha dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) negeri dan Jawatankuasa Pas Perlis yang bermesyuarat semalam bagi mencapai keputusan sokongan tersebut.
Katanya, bagi mempertahankan pentadbiran kerajaan PN di negeri ini, setiap pihak perlu saling menghormati khususnya melibatkan sebarang keputusan yang dicapai.
“Saya cukup menghormati keputusan itu dan mengharapkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita akan umumkan dalam masa terdekat ini berjalan lancar malah tiada sebarang kacau ganggu.
“Itulah harapan kita di mana masing-masing kena pastikan perjalanan DUN berjalan teratur dan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan bahawa enam wakil rakyat parti itu tidak akan bertindak mengemukakan usul undi tidak percaya atau menjatuhkan Menteri Besar.
Tegas Shahidan, dakwaan kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Abu Bakar di dalam sidang DUN Perlis adalah sama sekali tidak berasas.
Abu Bakar berkata, kepimpinan PN Perlis masih stabil malah diyakini memenangi majoriti kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke 16 (PRU16).
“PRU16 nanti kita akan menang 15-0, itu yang penting sekali kerana kita nak ambil semua kerusi DUN di Perlis,” katanya.
Katanya, beliau bakal mengumumkan tarikh persidangan DUN Perlis dalam tempoh beberapa hari lagi. – UTUSAN










