KUALA NERUS: Sebanyak 72 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Terengganu diperkasa bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh komuniti termasuk di luar kawasan liputan sedia ada.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha itu diperkukuh melalui pelantikan lapan Pengerusi Panel Penasihat NADI negeri ini yang menerima watikah pelantikan.
Katanya, Terengganu kini mempunyai 72 pusat NADI yang beroperasi di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus berperanan sebagai hab penyebaran maklumat dan pemerkasaan digital komuniti.
“Pelantikan panel penasihat ini adalah kesinambungan kepada pelaksanaan yang sama di beberapa negeri lain.
“Setakat ini, seramai 106 Pengerusi Panel Penasihat dilantik melibatkan negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan kini Terengganu,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI di sini.
Fahmi berkata, pelantikan itu diharap dapat memastikan semua 72 NADI di negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja oleh komuniti berhampiran, malah diperluas ke kawasan lain.
“Biasanya komuniti dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer mendapat manfaat paling besar, namun kita mahu perkhidmatan NADI dibawa keluar ke kawasan yang jarang disantuni.
“Ini penting untuk meningkatkan kesedaran umum, khususnya berkaitan bahaya penipuan dalam talian melalui kempen internet selamat,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan internet dalam kalangan anak-anak terutama yang berusia bawah 16 tahun bagi mengelakkan mereka terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai.
“Kerajaan komited memastikan anak-anak kita kekal selamat ketika menggunakan platform digital dan internet,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya pengurusan NADI bekerjasama rapat dengan Jabatan Penerangan Malaysia bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan mudah difahami kepada masyarakat.
“Maklumat perlu disampaikan dengan cara yang lebih mudah supaya dapat difahami oleh khalayak umum pada bila-bila masa,” katanya.
Pelantikan Panel Penasihat itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan NADI terus relevan sebagai pusat penyebaran maklumat sahih serta medium penghubung antara kerajaan dan rakyat. – UTUSAN











