KANGAR: Peletakan jawatan sekumpulan 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR cabang Kangar didakwa tidak memberi kesan kepada perjalanan parti di kawasan itu.
Ketua PKR cabang Kangar, Noor Amin Ahmad mendedahkan, mereka yang meletak jawatan itu rata-ratanya langsung tidak pernah hadir mesyuarat dan sebahagian pula hanya pernah beberapa kali sahaja menghadiri mesyuarat.
Katanya, kumpulan tersebut bukan saja tidak komited, malah ada dalam kalangan mereka yang aktif berkempen untuk calon yang menentang PKR dan menyerang parti dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, sebahagian mereka yang meletak jawatan itu juga baru didaftarkan sekitar dua tahun sebelum pemilihan lalu selain tinggal di luar kawasan, malah ada yang menetap di Thailand.
“Jadi tidak hairanlah kenapa mereka ini tidak komited. Jika mereka menawarkan diri berkhidmat kepada parti dan rakyat, mereka sepatutnya mencontohi ramai anggota dan pimpinan parti yang terus berkhidmat walaupun kalah dalam pemilihan dan pilihan raya.
“Mereka (AJK) yang meletak jawatan ini juga setelah menerima satu surat tunjuk sebab yang menunjukkan bahawa mereka telah enam kali tidak hadir ke mesyuarat sah parti.
“Alasan-alasan yang diberi untuk meletak jawatan itu juga sebenarnya hanyalah alasan untuk mengelak daripada tanggungjawab. Parti mengiktiraf sumbangan saya sejak sekian lama dalam parti melalui pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan negeri dan juga dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, PKR cabang Kangar bergolak apabila sekumpulan 15 AJK termasuk Timbalan Ketua cabang yang menang dalam pemilihan tahun lalu didakwa meletak jawatan sejak pertengahan Mac lalu.
Menurut sumber dalaman PKR, tindakan itu dibuat susulan kekecewaan memuncak terhadap kepimpinan Noor Amin yang didakwa gagal bertolak ansur sekali gus menyukarkan ruang kerjasama.
Mereka yang meletak jawatan tersebut adalah barisan daripada kem Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang menang dalam pemilihan lalu.
Dalam pemilihan tersebut, Ay Ling tewas kepada Noor Amin bagi perebutan jawatan Ketua Cabang Kangar, namun calon-calon dari kem Timbalan Pengerusi PKR negeri itu menang khususnya bagi jawatan naib ketua cabang dan seluruh barisan ahli jawatankuasa dengan margin perbezaan undi besar iaitu lebih 100 sehingga 265 undi.
Noor Amin berkata, selaku ketua cabang, beliau berhak bagi melantik tambahan 11 anggota parti ke dalam barisan jawatankuasa.
Katanya, semua yang dilantik itu juga adalah mereka yang komited kepada parti daripada dulu sehingga kini dan bukannya anggota baharu.
“Daripada segi pelantikan, sebenarnya ketua cabang boleh lantik berapa orang sekali pun. Cuma daripada segi Perlembagaan parti, lantikan wajib hanya 11. Saya juga telah nyatakan kepada kumpulan ini, selain daripada 11 lantikan wajib ini, saya boleh lantik tambahan yang lain tetapi mereka sendiri tidak pernah datang mesyuarat dan komited kepada parti.
“Malah ada yang memburukkan parti, maka tidak wajar mereka membuat tuduhan-tuduhan yang tidak benar. Pelantikan lain boleh dibuat bukan untuk menggantikan mereka, tetapi bagi memastikan pergerakan parti terus berjalan.
“Selama ini, mereka pun tidak menggerakkan parti dan tanpa mereka hadir mesyuarat sekali pun, parti masih terus bergerak,” katanya. – UTUSAN










