KUALA LUMPUR: Keputusan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar akan dirujuk kepada kepimpinan tertinggi parti terlebih dahulu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya masih belum memperoleh maklumat terperinci berhubung perkara itu dan perlu meneliti semua butiran sebelum mengeluarkan sebarang pendirian.
“Saya akan merujuk kepada Pengerusi BN. Apa pun, mereka baru sahaja membuat kenyataan berhubung perkara tersebut. Dari segi perinciannya, saya akan dapatkan terlebih dahulu.
“Saya akan ambil maklum perkara ini, namun saya tidak perlu mengulas buat masa ini sehingga saya memperoleh maklumat secara terperinci,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Taklimat Media Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (Joint Committee – JC) Malaysia – Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di World Trade Centre (WTCKL) hari ini.
BN Negeri Sembilan hari ini mengumumkan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.
Katanya, makluman rasmi mengenai keputusan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, hari ini. – UTUSAN










