KUALA TERENGGANU: Yang pasti TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga bukan lagi calon PM (Perdana Menteri).”
Demikian reaksi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung kenyataan Muhyiddin bahawa pelantikannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan bermaksud beliau adalah calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.
Katanya, beliau mendapat banyak pertanyaan mengenai kenyataan itu namun siapa pun calon Perdana Menteri, keutamaan sekarang adalah memperkukuh PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Saya mendapat banyak pertanyaan wartawan mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘Dr. Sam adalah Pengerusi Perikatan Nasional dan bukan calon PM’.
“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan PN dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya dalam Facebook beliau.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berkata, soal calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN adalah disebabkan Pas bertegas mahukannya.
Menurutnya, Majlis Tertinggi PN akur dan melihat keputusan itu mungkin kerana ingin memberi ruang dan peluang kepada pemimpin serta tokoh muda.
– UTUSAN










