UMNO Johor bincang kedudukan Hishammuddin, Maulizan esok

UMNO Johor bincang kedudukan Hishammuddin, Maulizan esok

AHMAD Maslan (tengah) menyampaikan hamper kepada Ketua Polis Daerah Pontian, Hadzrat Hussein Mion Hussain ketika melawat IPD Pontian, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO Johor akan membincangkan kesediaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Maulizan Bujang untuk kembali menyertai parti dalam mesyuarat khas esok.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan membangkitkan perkara tersebut sekiranya tiada mana-mana individu lain yang berbuat demikian.

“Mesyuarat esok akan dipengerusikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Saya yakin akan ada pihak bangkitkan isu ini dalam mesyuarat, khususnya dari Bahagian Sembrong dan Tebrau.

“Tetapi jika tiada mana-mana pihak yang bangkitkan perkara itu, saya sendiri akan sebut dalam mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ziarah Ramadan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pontian, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut berkata, perkara tersebut juga boleh dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat lebih tinggi dalam waktu terdekat.

“Saya terlibat dalam beberapa peringkat mesyuarat antaranya sebagai ahli jawatankuasa Rumah Bangsa, ahli Musyawarah Nasional selain Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

“Oleh itu perkara ini boleh diangkat melalui saluran-saluran berkenaan sebelum ia dibincangkan di peringkat MKT UMNO,” katanya sambil meyakini kesemua individu tersebut akan diterima kembali sebagai ahli aktif UMNO bawah inisiatif Rumah Bangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN