UMNO buka pintu penyatuan tanpa syarat

UMNO buka pintu penyatuan tanpa syarat

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO membuka pintu kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu serta mengalu-alukan mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan parti berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil bersempena keberkatan Ramadan yang menjadi waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti.

Katanya, bulan Ramadan mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan serta memperkukuh ukhuwah, sekali gus membuka ruang kepada usaha penyatuan dalam parti.

“Sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi, tetapi terbina atas sokongan, dukungan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat.

“Atas semangat tersebut, UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali, atau mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan ini untuk menyertai UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya demi membuka lembaran baharu bagi memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.

Katanya, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses tersebut dengan segera.

“Penyelarasan itu akan dilaksanakan melalui tatacara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO.

“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“Ia juga bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN