BUTTERWORTH: Pengarah sebuah syarikat kontraktor didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung kerja-kerja pembinaan di Taman Bandaraya Pulau Pinang, enam tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Fahim Mohammed Hussein, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang Penolong Jurutera MBPP, Nur Hazalina Zakaria dengan memperdayakan wanita itu supaya mempercayai bahawa sampel bahan ‘stainless steel round pipe’ berketebalan 3 milimeter (mm) telah digunakan bagi kerja-kerja pelebaran laluan trek joging, pembinaan ‘ramp’ dan kerja berkaitan di Taman Bandaraya pada 2020.
Bagaimanapun, pemasangan sebenar yang dilakukan adalah melibatkan paip berketebalan 2 mm sahaja seperti yang dilaksanakan oleh syarikat Gemilang MMY Ventures.
Perbuatan itu juga mendorong Unit Bayaran MBPP meluluskan bayaran berjumlah RM7,395 kepada syarikat terbabit melalui akaun Public Bank milik Gemilang MMY Ventures. Dalam hal ini, mahkamah dimaklumkan bahawa unit berkenaan tidak akan meluluskan bayaran tersebut sekiranya tidak diperdayakan dengan maklumat yang tidak benar itu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Mahendran dan Sheshalini.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap tertuduh atau enam bulan penjara sekiranya gagal bayar. Difahamkan, tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN









