Tiga termasuk bayi tujuh bulan maut motosikal rempuh kereta

Tiga termasuk bayi tujuh bulan maut motosikal rempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira 9 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta dari arah bertentangan membelok ke kanan di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa.

Katanya, ia menyebabkan motosikal dari Taman Widuri menuju ke Sungai Choh tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri kereta berkenaan.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal seorang lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai jurujual dan seorang penumpang kereta iaitu wanita berusia 88 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan yang dipangku oleh penumpang belakang kereta berkenaan turut cedera parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 11 pagi tadi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta seorang lelaki dan penumpang hadapan kereta seorang wanita masing-masing berusia 60 tahun, hanya cedera ringan dan turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohammadi Mt Abu @ Ramli di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN