Tiga masih diburu, pelbagai barangan RM7.1 juta disita hasil kes rampasan dadah di Sabah - Utusan Malaysia

Tiga masih diburu, pelbagai barangan RM7.1 juta disita hasil kes rampasan dadah di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelbagai barangan termasuk wang tunai dan barangan kemas bernilai RM7.1 juta disita susulan siasatan kes rampasan lebih tiga tan dadah bernilai RM240 juta di Sabah baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sitaan dibuat hasil siasatan lanjut pihak polis terhadap individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.

“Kita telah melakukan siasatan lanjut. Dari segi sitaan, kita telah menyita kira-kira RM7.1 juta melibatkan wang tunai, barang kemas serta beberapa barangan berkait dengan tangkapan.

“Sehingga kini, seramai 11 individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis kini turut mengesan tiga individu bagi membantu siasatan kes berkenaan iaitu Ang Yue Suien, Yam Chee Feng dan Choy Weng Hong.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Polis, Siti Norsaidah binti Mohammad Shah di talian 017-988 1932.

“Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah di talian 088-454 650 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di talian 088-454 222,” jelasnya.

Katanya, orang ramai turut boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan.

Sebelum ini, sindiket pengedaran dadah yang dipercayai terbesar dalam sejarah Sabah susulan rampasan lebih tiga tan dadah bernilai RM240 juta berjaya ditumpaskan polis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, rampasan itu dilakukan menerusi dua operasi bersepadu iaitu Op Coleoptera dan Op Bayu 2 yang dijalankan oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan beberapa serbuan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar di Sabah selain operasi susulan di Selangor hasil risikan yang dijalankan.

Dalam Op Coleoptera, polis dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta Lembaga Pelabuhan Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×