Tiga bersaudara pulang beraya penuh keinsafan - Utusan Malaysia

Tiga bersaudara pulang beraya penuh keinsafan

SHAHRUL Izat Hamid (tengah) bersama prospek di Penjara Taiping yang dilepaskan dalam Program PBSL Madani Yakin Kepulangan Yang di Nanti hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi detik penuh emosi dan keinsafan buat tiga bersaudara yang akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga selepas mendapat pelepasan awal dari Penjara Taiping.

Mereka adalah antara 39 prospek yang diberi peluang melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani, sekaligus membuka lembaran baharu dalam kehidupan selepas melalui fasa hitam akibat penyalahgunaan dadah.

Seorang daripada mereka yang enggan dikenali mengakui sudah lama terlibat dengan dadah dan ini adalah kali pertama dia ditahan.

Menurutnya, sepanjang lima bulan di penjara, dia mula sedar dan insaf dengan kesilapannya dan bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali ke pangkuan keluarga, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya.

“Peluang ini memberi ruang untuk memohon maaf kepada ibu bapa dan membuat perubahan positif dalam kehidupan.

“Saya berjanji akan berubah menjadi insan yang lebih baik. Cabaran terbesar mungkin daripada masyarakat dan kawan-kawan lama, tetapi saya tekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Prospek (PBSL) Madani Yakin, Kepulangan Yang Di Nanti di Penjara Taiping hari ini.

Adiknya, yang dikenali sebagai Remy, 27, pula berkata, dia mula terjebak dalam pengambilan dadah sejak usia 21 tahun akibat pengaruh rakan-rakan ketika bekerja dan melepak.

“Sebelum ini saya banyak mengabaikan keluarga, malah jarang pulang ke rumah. Kali ini saya mahu menebus kesilapan dan beraya dengan lebih bermakna bersama mereka.

“Di penjara, saya mengikuti kelas agama dan belajar mengaji. Saya berazam untuk teruskan amalan tersebut selepas keluar nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Taiping, Shahrul Izzat Hamid, berkata seramai 39 prospek diberi pelepasan awal sempena Hari Raya melalui program PBSL Madani.

Beliau berkata, program itu bertujuan membantu prospek menyesuaikan diri dalam komuniti, sama ada kembali ke pangkuan keluarga atau bekerja dengan majikan yang dikenal pasti.

“Inisiatif Jabatan Penjara Malaysia untuk melepaskan banduan terpilih lebih awal bagi menjalani pemulihan dalam komuniti bersama keluarga atau pekerjaan menjadi detik paling bermakna bagi prospek,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan prospek yang dilepaskan berumur antara 30 hingga 50 tahun, manakala bagi yang berumur lebih 50 tahun, penempatan lebih tertumpu kepada kediaman masing-masing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN