PETALING JAYA: Bekalan bahan api dalam negara mencukupi untuk kegunaan domestik, selain kedudukan stok juga stabil dan terkawal.
Setiausaha Agung Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Bashir Abdul Razak berkata, orang ramai tidak seharusnya melakukan pembelian panik yang boleh mengganggu aliran pasaran.
Katanya, ekosistem pembekalan bahan api di seluruh negara masih beroperasi pada tahap optimum tanpa sebarang gangguan signifikan.
Menurutnya, operasi di semua stesen minyak berjalan seperti biasa dengan proses penerimaan bekalan daripada syarikat minyak mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Pihak stesen masih menerima penghantaran bekalan daripada syarikat minyak mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan signifikan dan stok sedia ada adalah mencukupi untuk menampung permintaan semasa pengguna.
“Pihak pengusaha stesen masih menerima penghantaran stok secara konsisten, sekali gus membuktikan bahawa simpanan sedia ada adalah mencukupi untuk menampung permintaan semasa pengguna tanpa perlu ada rasa sangsi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bashir berkata, Malaysia mempunyai mekanisme pengurusan krisis yang sangat kukuh dan sistematik, maka langkah catuan seperti yang berlaku di beberapa negara jiran tidak sepatutnya mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
“Setakat ini, kedudukan bekalan bahan api negara kekal stabil dan terkawal, malah Malaysia mempunyai mekanisme pengurusan krisis yang kukuh jadi langkah catuan bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan buat masa ini,” katanya.
Katanya, PDAM sentiasa memantau situasi semasa bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendepani sebarang kemungkinan akibat ketidaktentuan geopolitik global.
“Sebarang keputusan mengenai langkah luar jangka adalah tertakluk sepenuhnya kepada dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan demi menjamin kepentingan serta keselamatan tenaga negara dalam jangka masa panjang,” katanya.
PDAM menyeru semua ahlinya untuk sentiasa mematuhi garis panduan jualan sedia ada bagi memastikan kelancaran operasi di premis perniagaan masing-masing.
Bashir berkata, para pengguna juga perlu menggunakan kuota subsidi dengan penuh cermat dan bertanggungjawab bagi memastikan manfaat tersebut sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Para pengguna turut diingatkan untuk menggunakan kuota subsidi yang diberi dengan cermat dan tidak menyalahgunakan atau melanggar garis panduan pembelian yang telah ditetapkan bagi memastikan keseluruhan ekosistem bekalan bahan api negara kekal lancar,” katanya. – UTUSAN










