KUALA LUMPUR: Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak menghantar tuntutan saman terhadap pempengaruh politik kerana didakwa memfitnah beliau.
Peguam yang mewakili Tamim Dahari, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, individu tersebut, Wan Nor Muliyani Wan Mansor didakwa menerbitkan video yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap anak guamnya.
Kata beliau, video yang dimuatnaik menerusi akaun TikTok itu mendakwa Tamim Dahari cuba mengapi-apikan isu sensitif, menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam dan melangkaui batas undang-undang.
Jelasnya, video di akaun @cikyanieofficial itu sudah meraih sebanyak 12,700 tontonan dan 624 tanda suka setakat 11.30 pagi tadi.
“Statistik ini menunjukkan tahap penerbitan yang meluas dan berterusan serta potensi penyebaran yang semakin meningkat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Zainul Rijal dari Tetuan Chambers of Zainul Rijal itu berkata, notis tuntutan rasmi sudah dikeluarkan kepada Wan Nor Muliyani bagi menuntut video itu dipadam serta merta dan penghentian penerbitan lanjut kenyataan berunsur fitnah.
Selain itu, katanya, pempengaruh politik itu turut perlu membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat selain berjanji untuk tidak mengulangi kenyataan sedemikian.
“Sekiranya tuntutan tersebut gagal dipatuhi dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang akan dimulakan di Mahkamah Tinggi bagi menuntut ganti rugi serta relif-relif yang sewajarnya,” katanya.
Tambahnya, anak guam beliau menghormati kebebasan bersuara dan perbezaan pandangan dalam ruang awam tetapi kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan untuk membuat tuduhan yang tidak berasas atau memberi gambaran palsu.-UTUSAN










