MELAKA: Pulau Besar bakal menjadi pusat pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menggabungkan pengajian tahfiz al-Quran dengan kemahiran profesional dalam bidang penyelaman serta kimpalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi kelainan kepada institusi tahfiz sedia ada, malah membuka laluan kerjaya berpendapatan tinggi kepada pelajar.
Katanya, program dikenali sebagai Tahfiz TVET Pulau Besar itu menekankan tiga komponen utama iaitu hafazan al-Quran, akademik sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta latihan kemahiran profesional dalam bidang penyelaman.
“Keunikan bidang TVET yang ditawarkan iaitu latihan menyelam termasuk penyelaman rekreasi, teknikal dan juga kemahiran kimpalan dalam air (underwater welding) yang mempunyai permintaan tinggi dalam industri.
“Pendekatan tersebut dilihat sebagai model pendidikan masa depan yang mampu melahirkan pelajar seimbang daripada segi ilmu agama, akademik dan kemahiran teknikal.
“Apabila pelajar tamat pengajian, mereka mempunyai pilihan sama ada menjadi hafiz, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau terus menceburi bidang penyelaman profesional yang menawarkan pendapatan lumayan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Moreh Bersama Pengamal Media Melaka di Ayer Molek di sini, malam tadi.
Rahmad berkata, setakat ini seramai 28 pelajar bersama 15 pelajar baharu menyertai program tersebut dan menyasarkan 50 pelajar menjelang tahun depan.
Katanya, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembaikan dan pemulihan fasiliti tahfiz tersebut.
“Kita akan memohon sebahagian daripada peruntukan RM10 juta yang diumumkan Kerajaan Persekutuan bagi program TVET Melaka,” ujarnya. – UTUSAN










