Tabung Haji rancang tambah pendedahan dalam pasaran ekuiti - Utusan Malaysia

Tabung Haji rancang tambah pendedahan dalam pasaran ekuiti

TABUNG Haji mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025 pada sidang akhbar Agihan Keuntungan Tabung Haji 2025 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) merancang meningkatkan pendedahan pelaburan dalam pasaran ekuiti bagi memastikan pulangan yang lebih mampan pada masa hadapan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pendedahan ekuiti TH meningkat kepada 28 peratus daripada keseluruhan portfolio pada 2025 berbanding sekitar 23 hingga 25 peratus tahun sebelumnya.

“Peningkatan itu masih berada dalam julat peruntukan strategik sedia ada yang membenarkan pendedahan sehingga hampir 32 peratus.

“Bagi memastikan dividen yang lebih baik pada masa hadapan, secara realistiknya TH perlu meningkatkan pendedahan dalam ekuiti,” katanya semasa Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji di sini hari ini.

TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun sejak 2018.

Dari segi prestasi, TH mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada 2025 berbanding RM4.56 bilion pada 2024.

Aset pelaburan pula meningkat kepada RM96.37 bilion daripada RM95.06 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio yang berterusan dengan alokasi aset yang seimbang.

Selain itu, pendapatan tetap kekal sebagai penyumbang utama dengan 53 peratus daripada jumlah pendapatan, diikuti ekuiti sebanyak 34 peratus.

Ekuiti persendirian juga mencatat pulangan pelaburan (ROI) tertinggi sebanyak 8.29 peratus, diikuti ekuiti luar negara 7.03 peratus dan ekuiti domestik 5.47 peratus.

Secara keseluruhan, kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion yang melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN