Syamsul kembali ke pangkuan keluarga, makin bersemangat jalani hidup - Yusof Haslam - Utusan Malaysia

Syamsul kembali ke pangkuan keluarga, makin bersemangat jalani hidup – Yusof Haslam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit, Yusof Haslam meluahkan rasa syukur apabila melihat anaknya, Syamsul Yusof kini kembali bersemangat meneruskan kehidupan.

Menurut Yusof atau Mohd Yusof Md. Haslam Khan, 71, pengarah filem Munafik itu sebenarnya telah pulang ke rumah sejak beberapa bulan lalu, namun perkara tersebut tidak dihebahkan kepada umum.

“Syamsul sudah kembali bersama saya sudah lama. Cuma kami tidak menguar-uarkannya.

“Kebetulan pada Aidilfitri lalu, isteri saya ada merakam gambar dan video ketika kami bersalaman. Alhamdulillah, saya lihat dia sudah mula bersemangat semula,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular yang memaparkan momen Syamsul Yusof bersalaman serta memohon kemaafan daripada ahli keluarga pada pagi Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Yusof sebagai seorang bapa tidak putus menaruh harapan agar anaknya terus bangkit menghadapi cabaran hidup, selain memanfaatkan bakat besar yang dimiliki dalam industri seni.

“Saya nasihatkan dia supaya tidak mudah berputus asa. Apa sahaja yang berlaku, perjuangan mesti diteruskan.

“Allah SWT sudah mengurniakan bakat yang besar kepadanya. Jadi, pandang ke hadapan, teruskan langkah dan jangan terlalu mengikut emosi,” ujarnya.

Pada masa sama, Yusof turut berkongsi perkembangan positif buat industri perfileman tempatan apabila dua projek tertangguh arahan Syamsul Yusof bakal disiapkan dalam masa terdekat.

Katanya, Syamsul kini memberi fokus untuk menamatkan penggambaran filem aksi The Original Gangster (OG) yang telah tertangguh hampir tiga tahun, selain filem Khawarij terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Skop Productions.

“Dia ada dua filem yang perlu disiapkan. Pertama, OG yang sudah lama tertangguh dan dia mahu menyiapkannya tahun ini. Begitu juga dengan Khawarij.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, kedua-dua filem ini dijangka menemui penonton sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya. — UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN