Di sebalik deretan kedai di Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang, tersergam sebuah restoran dengan nama unik iaitu Garamgula yang kini menjadi sebutan ramai dan tumpuan pecinta makanan dari seluruh Pulau Pinang.
Restoran ini bukan sekadar tempat makan biasa, sebaliknya, ia membawa kisah perjuangan seorang anak peniaga yang membina empayar sendiri dari bawah.
Pemiliknya, Abdul Hafiz Abdul Alim, 42, memulakan perjalanan hidup dengan pengalaman berniaga sejak kecil apabila sering membantu bapanya, Abdul Alim M Varesah Mohd, 63, yang menjual nasi kandar. Dari situlah, minat terhadap dunia perniagaan mula bercambah dalam dirinya.

Lebih menarik, Hafiz pernah mencipta nama dalam dunia hiburan dengan nama pentas Indera Hafiz apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam program realiti televisyen Pilih Kasih musim pertama pada tahun 2009.
Namun, minatnya terhadap dunia perniagaan mengatasi segalanya dan beliau memilih untuk membina kerjaya dalam industri makanan.
Hafiz berkata, dengan sokongan padu daripada ibu bapanya, Abdul Alim dan Jamilah Nasir, Hafiz membuka restoran pertama, Tunas Bistro di Batu Maung pada tahun 2016.
“Restoran itu menjadi titik permulaan kepada perjalanan panjangnya dalam dunia kulinari. Hampir sembilan tahun bertahan, Tunas Bistro bukan sahaja mengukuhkan pengalaman, malah membentuk identiti perniagaan saya,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Namun, Hafiz berkata, dia sedar bahawa perubahan zaman menuntut pembaharuan.

“Kalau kita tidak ikut trend, kita akan ketinggalan. Sekarang pelanggan bukan sekadar cari makanan, mereka cari pengalaman,” katanya.
Bermula daripada kesedaran itu, Hafiz berkata, dia memperkenalkan jenama baharu iaitu Garamgula pada penghujung 2024 dan cawangan pertama dibuka di Balik Pulau pada 2025 dan tanpa diduga, ia terus ‘meletup’ dalam kalangan pelanggan.
“Konsep yang saya ketengahkan di Garamgula cukup unik iaitu gabungan makanan tempatan dan barat dalam satu hidangan kreatif.
“Nasi lemak juga digandingkan dengan ‘chicken crispy’ atau ‘lamb chop’; satu kombinasi yang jarang ditemukan tetapi berjaya mencuri hati ramai dan memang menu ini ‘meletup’ di Garamgula,” katanya.
Selain itu, katanya, menu seperti nasi goreng ‘fusion’ turut menjadi kegemaran pengunjung yang mahukan kelainan dan idea tersebut lahir daripada identiti dirinya sendiri yang gemar bereks
perimen dengan makanan.
“Dari dulu lagi saya suka gabungkan elemen lokal dan western. Itu ‘signature’ saya, malah, kejayaan di Balik Pulau membuka laluan kepada perkembangan perniagaan yang lebih besar,” katanya yang menjenamakan Tunas Bistro di Batu Maung sebagai Garamgula Batu Maung pada pertengahan 2025. Tidak berhenti di situ, Hafiz terus melangkah ke hadapan dengan pembukaan cawangan
Garamgula di Jalan Macalister, George Town pada Januari 2026.
Malah, lebih menarik, beliau turut memperkenalkan konsep baharu menerusi The Garam, sebuah restoran rooftop di Bangunan MARA Pengkalan Weld.
“Di sini pelanggan bukan sahaja menikmati hidangan enak, malah, mereka turut disajikan dengan pemandangan matahari terbenam yang memukau. Ketika bulan Ramadan lalu, lokasi tersebut menjadi antara tempat berbuka puasa paling viral di Pulau Pinang,” katanya.
Namun, di sebalik kejayaan itu, Hafiz menegaskan bahawa kekuatan sebenar Garamgula terletak pada tiga perkara utama iaitu perkhidmatan, rasa dan kepantasan.

“Saya tidak jual makanan sahaja. Saya jual pengalaman iaitu setiap hidangan mesti sampai ke meja pelanggan dalam tempoh kurang sembilan minit pada hari biasa.
“Bagi waktu puncak pula, tempoh maksimum ditetapkan tidak melebihi 15 minit. Pendekatan ini menjadikan garamgula antara restoran yang terkenal dengan perkhidmatan pantas. “Pada masa sama, harga yang ditawarkan juga mesra poket, bermula serendah RM7 hingga RM99.
“Pilihan minuman pula tidak kurang menarik dengan pelbagai mocktail dan teh istimewa yang menyegarkan,” katanya.
Garamgula yang tampil dengan konsep santai, moden dan sesuai untuk seisi keluarga beroperasi setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam. –UTUSAN










