KUALA LUMPUR: Suami kepada pelakon Miera Liyana mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), lima tahun lalu.
Tertuduh, Rosland Othman, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Rosland ketika itu sebagai pengarah syarikat Sarawak Consolidated Industries Berhad didakwa menyebabkan pernyataan palsu berhubung hal ehwal Sarawak Consolidated Industries Berhad diberikan kepada Bursa Malaysia di dalam ‘Laporan Kewangan Interim mengenai Keputusan Disatukan bagi Suku Tahun Berakhir 30 Jun 2021’.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, pada 30 September 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) dan boleh dihukum di bawah seksyen 369 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Hashley Tajudin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Bagaimanapun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, pendakwaan menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali sehingga kes selesai,” katanya.
Peguam bela S. Shastidaran yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya sudah diisytihar muflis sejak 2023.
“Anak guam juga perlu menanggung tujuh anak hasil dua perkahwinan dan menghidap penyakit kencing manis, glaukoma serta masalah saraf. Ini juga merupakan kesalahan kali pertamanya dan sepanjang siasatan tertuduh juga telah memberikan kerjasama baik,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan. Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mei ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN










