PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menasihatkan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong supaya tidak membuat sebarang spekulasi terbuka mengenai calon baharu ketua menteri yang kini disandang oleh Chow Kon Yeow.
Nasihat itu dibuat susulan perbincangan hangat dalam kalangan pemimpin DAP negeri mengenai siapa yang bakal menjawat jawatan tersebut.
Beliau berkata, Steven Sim tidak sepatutnya menamakan sesiapa secara terbuka kerana perkara ini seharusnya dibincangkan secara dalaman oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, khususnya kepimpinan tertinggi parti.
“Pilihan ketua menteri bukan untuk diperkatakan oleh sesiapa. Malah pengerusi negeri juga tidak sepatutnya menyebut mana-mana nama.
“Dalam isu ini, dia tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi atau menyebut mana-mana nama kerana ia tiada makna bagi saya,” katanya menerusi program podcast, The Keywords.
Anthony Loke berkata, DAP hanya akan mempunyai satu calon untuk jawatan ketua menteri bagi pilihan raya akan datang.
“Pasti tidak akan ada dua, tiga atau empat nama. Hanya satu calon sahaja akan diumumkan pada masa yang sesuai.
“DAP tidak boleh menganggap mereka berhak melantik sesiapa sahaja sebagai ketua menteri tanpa terlebih dahulu memenangi sokongan dan mandat pengundi.
“Semua ahli parti harus fokus pada isu sara hidup rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Pilihan ketua menteri Pulau Pinang pasti akan diputuskan, tetapi sekarang bukan masanya,” katanya.
Tambah beliau, Kon Yeow sebagai penyandang jawatan berhak mendapat penghormatan dan tidak wajar diperlakukan seolah-olah sudah kehilangan kuasa.
Katanya, pengumuman calon baharu hanya akan dibuat selepas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
“Pengundi juga tidak mahu melihat spekulasi mengenai masa depan ketua menteri. Jadi saya nasihatkan Steven Sim dan sesiapa sahaja supaya tidak membangkitkan isu ini lagi. Semua pihak perlu fokus pada kerja, pembangunan dan menangani isu semasa,” katanya. – UTUSAN










