SPRM tahan 16 dalang utama sindiket penipuan dikehendaki China, aset RM 3.5j disita - Utusan Malaysia

SPRM tahan 16 dalang utama sindiket penipuan dikehendaki China, aset RM 3.5j disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dan menghantar pulang seramai 16 dalang utama sindiket penipuan antarabangsa warga China yang bersembunyi di negara ini dan dikehendaki pihak berkuasa negara berkenaan.

Kesemua dalang itu ditahan oleh SPRM dengan kerjasama pihak berkuasa China melalui beberapa siri Op Dragon yang dijalankan secara bersepadu.

Operasi menyasarkan rangkaian sindiket yang dipercayai berpangkalan dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sindiket itu dikenal pasti menjalankan aktiviti penipuan merentasi sempadan dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa.

“Kesemua suspek ini merupakan rakyat China dan mereka telah dihantar pulang bagi proses perbicaraan di China. 

“Proses penghantaran pulang  dilakukan dengan kerjasama Kedutaan China dan Jabatan Imigresen Malaysia dengan semua prosedur perundangan dan diplomatik dipatuhi,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, dalam operasi yang sama, SPRM turut menyita pelbagai aset dipercayai diperolehi hasil aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah sindiket tersebut. 

Antara barangan yang disita termasuk dua unit kereta mewah, barang kemas, jongkong emas, komputer peribadi, komputer riba, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing.

“Turut dirampas iaitu ratusan unit telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai digunakan sebagai alat utama dalam kegiatan tersebut.

“Nilai keseluruhan aset yang disita dianggarkan bernilai RM3.5 juta dan SPRM sedang menjalankan proses pelucuthakan terhadap aset-aset tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sebelum dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, kejayaan operasi membuktikan komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi membanteras jenayah kewangan dan aktiviti penipuan rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan ekonomi serta kepentingan negara.

“Sebarang bentuk penyalahgunaan sistem kewangan, rasuah serta aktiviti penipuan akan terus dibanteras melalui tindakan penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan rakan penguatkuasaan di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×